About Me

My photo
NO ONE LIKE ME (Be yourself!)

Wednesday, August 11, 2010

Cacamarba bahasa

Jati diri hancur, peribadi lebur

IBARAT kad pengenalan diri, bahasa melambangkan jati diri setiap individu, namun penggunaan bahasa rojak dan slanga generasi muda yang berleluasa di kalangan bangsa Melayu pada masa kini seolah-olah mempamerkan sikap tidak peduli terhadap identiti mereka.

Poyo, kerek, hampeh, lol, jek, ker, giler, lu dan beb adalah sebahagian daripada slanga yang lazim didengar baik dalam perbualan harian generasi muda sesama mereka tanpa mengira tempat dan ketika, seolah-olah bangga dengan segala macam pencemaran bahasa.

Jika bahasa rojak dan slanga generasi muda ini hadir dalam situasi tidak rasmi seperti internet, facebook dan twitter, ia dapat diterima, tetapi dalam program di televisyen, radio mahupun novel, ia sepatutnya dijauhkan memandangkan ia akan ditonton, didengar dan dibaca ramai orang.

Apakah situasi seperti cendawan tumbuh selepas hujan ini berlaku kerana Akta Bahasa Kebangsaan yang diluluskan Parlimen pada 1963 hanya sekadar mengisytiharkan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152 tidak memperuntukkan sebarang penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa Melayu?

Mungkinkah juga, sikap sebahagian pemimpin politik mahupun di kalangan korporat tempatan yang gemar mengutamakan bahasa Inggeris meskipun dalam urusan rasmi dan sidang akhbar menggalakkan mereka bersikap acuh tak acuh terhadap bahasa Melayu sehingga gagal mengucapkannya dalam bahasa standard?

Teguran demi teguran di kalangan orang bahasa terhadap penggunaan bahasa Melayu yang kacau di negara ini, seolah-olah mencurahkan air di daun keladi dan seperti mempamerkan ragam bahasa terbabit dianggap sebagai fenomena sosial yang relevan dengan peredaran zaman.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Faridah Nik Muhamad Affendi, melahirkan kebimbangan terhadap gejala bahasa rojak dan slanga generasi muda yang semakin tidak terkawal kini.
“Sudahlah nasib bahasa Melayu ibarat telur di hujung tanduk apabila tidak diberi keutamaan berbanding bahasa Inggeris, kemelut ini memburukkan lagi keadaan. Justeru, tidak menghairankan apabila golongan muda bermasalah dalam menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

"Bahkan, unsur bahasa rojak dan slanga generasi muda yang sepatutnya tidak berlaku dalam suasana rasmi, kini semakin berleluasa tanpa ada rasa ‘bersalah’ oleh pelakunya. Senario ini menyebabkan golongan muda memandang ringan terhadap isu bahasa rasmi," katanya dalam pertemuan dengan Sastera di Serdang, baru-baru ini.

Beliau yakin bahawa kelompok yang tidak dapat bertutur dengan dengan baik dalam bahasa Melayu baku kerana mereka tidak menerima pendedahan dan ‘latihan’ sewajarnya selain kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa.

"Justeru, bagi menghalang bahasa Melayu daripada terus dipengaruhi unsur luar secara melulu, kalangan pemimpin dan pendidik perlulah terus memupuk generasi muda dengan memberi bimbingan dan teladan kepada mereka agar sikap menghargai bahasa rasmi negara ini dapat berterusan," katanya

Guru Bahasa Melayu, Habibah Mat Salim, pula menyifatkan penggunaan bahasa rojak dan slanga generasi muda lebih mudah berkembang berbanding istilah standard yang dimuatkan dalam kamus bahasa Melayu kerana pengaruh Barat di negara ini sejak sekian lama, sememangnya berjaya menghakis jati diri orang Melayu.

"Penggunaan bahasa rojak dan slanga generasi muda sudah menjadi gaya hidup ‘wajib’ golongan muda untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa. Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa Melayu baku dianggap sebagai skema dan ketinggalan zaman.

"Saya ralat melihat tidak ramai yang sedar bahawa penggunaan bahasa rojak dan slanga generasi muda itu sebenarnya memperkecilkan bahasa Melayu yang pada asasnya memberi gambaran betapa merosotnya bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan yang sudah perakukan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa fenomena itu sukar dikawal ekoran ramai ahli masyarakat yang malu menggunakan bahasa Melayu baku sehingga memberi ruang luas kepada bahasa rojak dan slanga generasi muda berkembang secara bebas.

"Tidak salah sekiranya kita mengambil kata daripada bahasa asing untuk memperkaya pemikiran bangsa selagi ia tidak merosakkan bahasa, tetapi ia suatu isu apabila kita menggunakan bahasa rojak dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu baku," jelasnya.

Sumber : Berita Harian Online
Cacamarba bahasa
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
2010/08/12

No comments:

Post a Comment