About Me

My photo
NO ONE LIKE ME (Be yourself!)

Saturday, February 23, 2013

Beruzlah


Beruzlah...
tidak bermaksud lari dari tema duniawi
aku hanya ingin meraut ilham
mencatur imaginasi menjalin kronologi
menganyam interpretasi
menyulam plot-plot terindah
berinspirasi saujana fatamorgana.

Beruzlah...
bukan bererti berpaling tadah
dari watak-watak sampingan
aku hanya ingin menghiasi
pentas-pentas persinggahan
berlatarbelakang kesantunan gaya bahasa
berdiksi dan bersintaksis
dari sudut pandanganku yang tersendiri.

Beruzlah...
aku hanya mampu menitip monolog
bukan tidak sudi berkongsi dialog
cuma aku ingin bebas
mengatur episod nawaituku tersendiri
tanpa sekelumit pun bisa tersasar dari landasan akidah
babak demi babak
meski prolognya mengharukan
bukan bererti bakal diakhiri
dengan epilog duka menjerut kalbu.

Beruzlah...
tidak kerana konflik kehidupan
yang memaksa untuk nafsi-nafsi
aku hanya tidak ingin membazir
menempel cerita menambah perenggan
aku jua enggan dianggap picisan
oleh pembaca yang gemar menilai.

Beruzlah...
tenggelam di dasar lautan fikir
percaya atau tidak
apa yang bakal berlaku
pada klimaks epik kehidupan ini
hanya Dia yang maha Alim.

Beruzlah...
menguji ketabahan
semoga minda kembali bernafas.

Beruzlah...
menyubur kembali jiwa yang layu lesu
usah hanya asyik mencecer
menconteng aksara-aksara
pada cerita cinta dunia
bimbang nanti permata ukhrowi pula berciciran.

Beruzlah...
mengutip semula kekurangan
menyemak di mana terselit kesilapan
menyunting langgam yang menempel
mengimbas semula tirai flashback masa silam
untuk dapat ku persembahkan
sekali lagi dengan nafas yang sabar
semoga di sana kelak
EDITORnya tidak merungut....:)
(Taman Kinabalu)

Pemutus Asa

Hari yang mana telah mencipta gelora
membaham rakus segala pintar
lantas lahirlah si sabar yang kedunguan.
Mata siapa mencerlang amarah
tatkala nafas disedut bagai perompak
menggeledah masa yang tidak lagi simpati.
Dan kata-kata azimat
hanyut satu per satu
di dasar sungai keliru.
Dia mendengar tanpa mengerti
lantas sang pemidato
menangis menghimpun kembali 
jejak yang tercicir percuma
namun jarum waktu mencucuk perit
menurut segala perintah takdir!
Jalan siapa bukan jalannya lagi
geringkah sang kaki
yang menyaksi segala kerikil mentertawa
di mana asa terjuntai di celah gunung
tangan yang menggapai masih kaku dan longlai.
Esok yang diintai masih bersimpuh di bawah gebar
padanya sang suria masih lelap
entah bila melontar sinar 
masihkah ada senyum
andai mereka memburu masih
menghalang tiap cubaan
untuk gemilang di atas kudrat sendiri!

Already posted to New Sabah Times (17.02.2013) with newly edited by Sifu Yatim Ahmad




Bersama

Daku mendamba
kita ditata rias satu rupa
sebuku roti berbagi dua
walau seribu mulut pastikan semua ada
secubit seorang kita
sebulat bumi sebulat suara
jangan ada setinta iri menoda prasasti atma
hormati daku hormati kamu hormati mereka
rantingmu rantingku di dahan berbeza
tetap punya mimpi serupa
mahu merimbun ukhwah di pohon citra
ini bukan pasar sengketa
medan hasad saling berebut kuasa
bak budak hingusan berebut bola
jangan diturut hasutan sang pendurjana
dahaga darah sesama insania
buanglah pisau kesumat kita
kerana nyawa bukan mainan semata
kita punya akal waras belaka
namun mengapa masih mengubahlara
resam estetika
di sini masih ada ruang dan masa
untuk kita bersatu dan saling bercinta!


11022013
Taman Kinabalu

Aneh

Lainnya kita
suara lantang di muka buku
bak pendekar gagah perkasa
konon itu dan ini
begitu dan begini
walhal bila buku bertemu ruas
menikus kebingungan!

Lainnya kita
berganda propaganda
lebih sudu dari kuah
tapi bila waktunya
bayang pun sirna!

Lainnya kita
mendodoi bumi dengan sampah sarap
barangkali ada planet ajaib
tersorok dalam kocek kebodohan!

Lainnya orang ini
kata sang haiwan kehairanan
kerana membuang si kecil tak berdosa
singa pun gagap
menyebut kata kemanusiaan!

Istimewanya manusia kerana akal
namun siapa pun bingung
kerana akalnya terpijak di telapak kaki
akhirnya leper dan sempit
lalu benak pun terpenjara
memberontak mencari hiburan duniawi
kerana jalan ke syurga
beronak dan berduri!


20:20HRS
05022013
TAMAN KINABALU