About Me

My photo
NO ONE LIKE ME (Be yourself!)

Saturday, February 23, 2013

Beruzlah


Beruzlah...
tidak bermaksud lari dari tema duniawi
aku hanya ingin meraut ilham
mencatur imaginasi menjalin kronologi
menganyam interpretasi
menyulam plot-plot terindah
berinspirasi saujana fatamorgana.

Beruzlah...
bukan bererti berpaling tadah
dari watak-watak sampingan
aku hanya ingin menghiasi
pentas-pentas persinggahan
berlatarbelakang kesantunan gaya bahasa
berdiksi dan bersintaksis
dari sudut pandanganku yang tersendiri.

Beruzlah...
aku hanya mampu menitip monolog
bukan tidak sudi berkongsi dialog
cuma aku ingin bebas
mengatur episod nawaituku tersendiri
tanpa sekelumit pun bisa tersasar dari landasan akidah
babak demi babak
meski prolognya mengharukan
bukan bererti bakal diakhiri
dengan epilog duka menjerut kalbu.

Beruzlah...
tidak kerana konflik kehidupan
yang memaksa untuk nafsi-nafsi
aku hanya tidak ingin membazir
menempel cerita menambah perenggan
aku jua enggan dianggap picisan
oleh pembaca yang gemar menilai.

Beruzlah...
tenggelam di dasar lautan fikir
percaya atau tidak
apa yang bakal berlaku
pada klimaks epik kehidupan ini
hanya Dia yang maha Alim.

Beruzlah...
menguji ketabahan
semoga minda kembali bernafas.

Beruzlah...
menyubur kembali jiwa yang layu lesu
usah hanya asyik mencecer
menconteng aksara-aksara
pada cerita cinta dunia
bimbang nanti permata ukhrowi pula berciciran.

Beruzlah...
mengutip semula kekurangan
menyemak di mana terselit kesilapan
menyunting langgam yang menempel
mengimbas semula tirai flashback masa silam
untuk dapat ku persembahkan
sekali lagi dengan nafas yang sabar
semoga di sana kelak
EDITORnya tidak merungut....:)
(Taman Kinabalu)

No comments:

Post a Comment